KEBEBASAN. Adakah perkataan ini memberikan anda pengertian yang besar dalam hidup ini? Bagi seorang remaja, kebebasan ini lebih menjurus kepada perbuatan mereka yang bebas dari segala-galanya, tidak baik atau buruk, tanpa kekangan sesiapa dan mereka sangat menikmati erti kebebasan itu sepenuhnya. Sejauhmana mereka boleh memilih erti kebebasan tersebut, janganlah sampai membinasakan diri mereka pula. Keputusan adalah terletak dalam diri masing-masing, anda sebagai remaja di zaman serba mencabar ini diberikan kebebasan untuk melihat kehidupan ini dengan lebih dekat."apa yang anda putuskan hari ini bakal mencorakkan liku-liku kehidupan anda yang mendatang"
Kebebasan sering dikaitkan dengan umur, sekiranya anda telah mencapai umur 18 ataupun 21, anda dikatakan telah memegang kunci kepada kehidupan anda tanpa dipengaruhi oleh orang lain. Sejauhmana perkara ini benar, ia bergantung kepada individu masing-masing. Sesungguhnya kebebasan adalah hak milik mutlak individu. Pada masa kini, tiada siapa lagi boleh mengawal sepenuhnya makhluk bernyawa yang digelar manusia. Anda bebas melakukan apa sahaja apa yang anda sukai. Walau bagaimanapun, semua tindak tanduk adalah terbatas kepada peraturan-peraturan duniawi yang telah ditetapkan oleh golongan manusia yang digelar pemimpin. Golongan ini telah menggubal undang-undang manusia dengan tujuan memastikan kehidupan sejagat yang harmoni.




